KUALA KEDAH: Taktik pakatan pembangkang yang cuba menarik bekas anggota tentera untuk menyertai perjuangan pembangkang dikhuatiri boleh mendatangkan kesan buruk kepada masa depan negara.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata pembangkang kini menjadikan taktik menarik bekas anggota tentera termasuk berpangkat Bridged Jeneral untuk menyokong perjuangan mereka sebagai trend terkini bagi mengaburi mata rakyat. 
"Trend terbaru yang merungsingkan ini bukan saja dalam soal politik tapi soal masa depan negara kita iaitu apabila pembangkang membabitkan bekas pegawai tentera dalam politik. 


"Ini sesuatu yang mengundang kesan yang kita belum dapat fahami dengan mendalam dalam jangka masa panjang kepada masa depan negara," katanya pada ceramah sempena Rali Selamatkan Kedah anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN), di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya Malaysia adalah sebuah kerajaan awam yang dipilih rakyat dan bukannya hasil rampasan kuasa atau penggulingan kerajaan.

Beliau berkata, ia sekali gus membuatkan Malaysia berbeza dengan negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia, Filipina dan Singapura yang kerajaannya mempunyai hubungan ketenteraan.

"Jadi kita tak tahu lagi apa kesannya dalam jangka panjang apabila pembangkang sengaja membabitkan bekas tentera dalam politik...Kita tahu anggota keselamatan kita memang menjalankan tugas dengan profesional. 
"Mereka faham soal keselamatan sentiasa diutamakan sampai sanggup gadai nyawa seperti di Lahad Datu, Sabah. Jadi bila dia ditarik untuk terbabit dalam politik itu satu insiden yang belum kita fahami kesannya, " katanya.